Monday, March 16, 2009

Tudung Mudah Sarung

Berikut adalah artikel berkenaan Butik Ariani yang telah dinukilkan oleh wartawan dari Surat Khabar Berita Harian

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Ratu/
20090311081037/Article/

Tudung mudah sarung

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my


TUDUNG bermotif sesuai digayakan bersama busana polos.

Trend terkini tampilkan gaya ringkas tetapi cantik

GAYA pemakaian tudung yang sesuai dengan pakaian mampu menyerlahkan lagi gaya wanita sama ada ingin kelihatan anggun, formal atau santai. Selepas tudung bawal, kini tiba pula fesyen tudung mudah sarung yang senang digayakan.

Muka tudung terbentuk dengan penggunaan kain mudah memeri, menjadikan pemakaiannya cukup mudah sekali. Malah sejak sejak isteri penyanyi Mawi, Ekin mengenakan tudung sedemikian, semakin ramai wanita berani menggayakannya.

Bermula dengan hiasan biasa, kini ada pula tudung berhias dengan batu swarovski atau tatahan labuci, menjadikan pemakaian bertambah anggun khususnya menghadiri majlis makan malam.


Baru-baru ini butik tudung, selendang dan pakaian Muslimah, Ariani, menampilkan lebih 200 rekaan dan koleksi tudung eksklusif hasil rekaan perekanya dalamannya yang berpengalaman luas.

Butik milik penuh syarikat Jakel yang menjual fabrik import itu memungkinkan ia menghasilkan tudung daripada fabrik terbaik dan selesa dipakai apatah lagi kebanyakannya buatan Eropah.

EKIN dilantik menjadi duta Ariani untuk tempoh tiga tahun.

Pegawai Pemasaran, Farah Haryani Mohd Philip, berkata himpunan dibawakan jenama itu mungkin tampak sama dari segi luaran, tetapi sekiranya disentuh, ia menggunakan fabrik lembut seperti sutera.

Hiasan pada bahagian depan dengan tatahan batu swarovski menjadikan sepasang tudung cukup anggun kerana sinar batu berkenaan memberikan impak lebih mewah apabila dibias cahaya malam.

“Setiap helaian agak eksklusif kerana ia hanya menyediakan 100 rona dalam 100 helai saja setiap satu. Hingga kini jenama ini hanya terdapat di butik Ariani saja. Pelanggan yang berkunjung ke butik Ariani atau yang baru berjinak-jinak mempelajari teknik menggayakan tudung, berpeluang mendapatkan khidmat nasihat dari segi pemilihan tudung yang sesuai mengikut penggunaannya serta teknik dan cara pemakaian tudung akan diberikan secara percuma di butik ini,” katanya pada pelancaran koleksi berkenaan baru-baru ini.

Majlis itu turut memperkenalkan Ekin sebagai duta jenama untuk tempoh tiga tahun. Menerusi kontrak yang sudah dipersetujui, Ekin hanya akan menggayakan koleksi Ariani ketika bersama media, di lokasi tertentu dan muncul dalam program di televisyen.

TUDUNG bermotif dan kontras ronanya menyerlahkan gaya.

Serentak acara itu butik berkenaan akan turut memasarkan cakera padat mengenai cara pemakaian tudung tidak lama lagi.

Tudung berhias swarovski cantik digayakan untuk menghadiri majlis sebelah malam. Ia cantik digayakan begitu saja atau untuk kelihatan lebih anggun, boleh digayakan bersama tudung atau selendang di bahagian luarnya. Ikatan tudung ringkas saja sudah memadai menyerlahkan gaya.

Sekiranya memilih pakaian yang sarat dengan hiasan atau perincian sulaman, tudung tanpa hiasan keterlaluan paling sesuai digayakan kerana ia tidak akan menenggelamkan hiasan pada pakaian. Rona kain tudung yang tidak terlalu garang pula mencetuskan aura feminin.

Selain bermotif, tudung polos yang mudah digayakan bersama lilitan mudah atau lebih rumit boleh anda cuba sekiranya berkunjung ke Ariani. Setiap satu boleh didapati pada harga RM49 ke atas.

No comments:

Post a Comment